Strategi penyalinan Virus_komputer

Supaya dapat menyalin diri, virus harus dibenarkan untuk melaksanakan kodnya dan menulis pada ingatan. Atas alasan ini, banyak virus melekat pada fail boleh laku yang merupakan sebahagian atur cara yang sah. Jika seseorang pengguna mencuba melaksanakan atur cara yang terjangkit, kod virus akan dilaksanakan lebih dahulu.

Virus-virus boleh dibahagikan kepada dua jenis, bersandarkan tindakannya apabila dilaksanakan:

  • Virus bukan huni dengan serta-merta akan mencari-cari perumah yang lain yang boleh dijangkiti dan selepas menjangkitinya, akan memindahkan kawalan kepada atur-atur cara penggunaan yang terjangkit.
  • Virus huni tidak mencari perumah apabila ia dilaksanakan tetapi sebaliknya, memuat diri ke dalam ingatan dan memindahkan kawalannya kepada atur cara perumah. Virus huni masih tetap aktif di latar belakang dan akan menjangkiti perumah-perumah yang baru apabila fail-fail itu dicapai oleh atur cara yang lain atau oleh sistem pengendalian pada dirinya.

Virus bukan huni

Virus bukan huni boleh dianggap sebagai terdiri daripada dua modul, iaitu "modul pencarian" dan "modul penyalinan". Modul pencarian bertanggungjawab untuk mencari fail baru untuk dijangkiti. Bagi setiap fail boleh laku yang baru yang ditemukan, modul pencarian akan memanggil modul penyalinan untuk menjangkiti fail itu.

Untuk virus-virus yang mudah, tugas-tugas penyalin adalah seperti yang berikut:

  1. Menyemak adakah fail boleh laku itu telah dijangkiti (jika ia, kembali ke modul pencarian);
  2. Melampirkan kod virus pada fail boleh laku;
  3. Simpan titik permulaan fail boleh laku;
  4. Tukarkan titik permulaan fail boleh laku supaya ia menunjuk ke lokasi permulaan kod virus yang baru sahaja disalin;
  5. Simpan lokasi permulaan yang lama supaya virus akan menyimpang ke lokasi itu selepas ia dilaksanakan;
  6. Simpan perubahan dalam fail boleh laku;
  7. Tutup fail yang terjangkit; dan
  8. Kembali ke modul pencarian supaya ia boleh mencari fail yang baru untuk dijangkiti oleh penyalin.

Virus huni

Virus huni mengandungi modul penyalinan yang serupa dengan modul yang digunakan oleh virus bukan huni, tetapi ia tidak digelar sebagai modul pencarian. Sebaliknya, virus ini memuat modul penyalinan ke dalam ingatan apabila ia dilaksanakan dan memastikan bahawa modul ini akan dilaksanakan setiap kali sistem pengendalian dipanggil untuk melakukan tugas-tugas yang tertentu, umpamanya apabila sistem pengendalian itu melaksanakan sesuatu fail. Dalam kes ini, virus itu akan menjangkiti setiap atur cara yang sesuai yang dilaksanakan oleh komputer.

Virus-virus huni kekadang dibahagikan kepada dua kategori, iaitu penjangkit cepat dan penjangkit lambat. Penjangkit cepat direka untuk menjangkiti sebanyak fail yang mungkin, umpamanya ia boleh menjangkiti setiap fail perumah yang dicapai. Ini akan menimbulkan masalah yang khusus untuk perisian anti-virus kerana pengimbas virus akan mencapai setiap fail perumah yang berpotensi di dalam komputer apabila ia mengimbas seluruh sistem. Jika pengimbas virus gagal mengesan virus sebegitu yang wujud di dalam ingatan, virus itu boleh "menggendong" pengimbas virus dan dengan itu, menjangkiti semua fail yang diimbas. Penjangkit cepat bergantung kepada kadar penjangkitannya yang cepat untuk merebak. Kelemahan kaedah ini adalah bahawa penjangkitan banyak fail akan menyebabkannya mudah dikesan kerana virus itu akan memperlahankan komputer atau melakukan banyak tindakan yang menimbulkan kesangsian yang boleh dikesan oleh perisian anti-virus.

Penjangkit lambat sebaliknya direka untuk menjangkiti perumahnya sekali sekala. Umpamanya, sesetengah penjangkit lambat hanya menjangkiti fail apabila fail itu disalin. Penjangkit lambat direka semata-mata untuk mengelakkan pengesanan dengan membatasi tindakannya. Ia tidak banyak memperlahankan komputer dan jarang mencetuskan perisian anti-virus yang mengesan tindakan atur cara yang menimbulkan kesangsian. Walaupun demikian, pendekatan penjangkit lambat kelihatan tidak begitu berjaya.